Saturday, November 15, 2008

Catatan Kenangan




JULAI 2006 , tiba saatnya saya perlu mengucapkan selamat tinggal bunda ayahanda, selamat tinggal Malaysia, anakanda perlu berangkaat ke Negara seberang untuk mencapai matlamat yang satu. Butir-butir jernih yang terkumpul di pelupuk mata ditahan-tahan saat bunda memeluk erat tubuh ini. Ayahanda mencium ubun-ubun di kepala lalu mengucapkan kata-kata semangat,
“Belajar rajin-rajin. Ingat Allah selalu”, pesan sang ayah.

InsyaAllah ayahanda, bunda, anakanda akan ingat pesanan itu. Saya bersama beberapa orang sahabat menuruni escalator untuk pemeriksaan passport. Beberapa kali saya berpaling untuk melambai kepada ayahanda, bunda. Saya terharu melihat ayahanda, bunda melambai kembali ke arah saya. Selepas masuk ke perut KL international airport, saya tidak dapat lagi menatap wajah mereka.

Saya melangkah mengikut rentak rakan-rakan untuk prosedur seterusnya. Masing-masing diam melayan perasaan masing-masing. Inilah kali kedua aku menaiki kapal terbang. Pertama kalinya saya hanya menaiki penerbangan domestic bersama keluarga ketika masih kanak-kanak. Kali ini semuanya perlu dilakukan sendiri.

Penerbangan memakan masa selama dua jam setengah bersama Malaysia Airlines. Di sebelah saya adalah pemuda Indonesia yang setahun lebih muda dari saya. Kami sempat bertegur sapa dek kerana keramahannya. Menurutnya, mereka adalah sekumpulan pelajar pertukaran ke USA. Tidak hairanlah bahasa Inggerisnya begitu mantap. Saya pula merangkak-rangkak cuba berbual dengannya dalam bahasa kedua di Malaysia. Saya sedar anak-anak Indonesia sangat dahagakan ilmu yang seluas lautan. Kendatipun airnya diteguk takkan habis juga. Saya bersyukur kerajaan Malaysia sangat mementingkan pendidikan dan banyak peruntukan disalurkan untuk pendidikan. Buktinya ramai anak Malaysia dihantar ke Negara asing untuk menimba ilmu dan pengalaman supaya mereka dapat berbagi ilmu itu apabila pulang kelak. Cuma di sini peruntukannya kurang. Untuk masuk ke universiti perlu ditanggung sendiri. Orang kaya bertambah kaya. Yang kurang tetap begitu.

Ketibaan kami di Lapangan Terbang Soekarno Hatta Jakarta disambut mesra oleh beberapa orang senior Malaysia yang sedia menjemput. Kami pada ketika itu seramai 42 orang perlu menaiki bas untuk ke Jatinangor, Jawa Barat, destinasi pendidikan kami. Perjalanan selama 3 jam itu masih jauh. Saya membuang pandangan ke luar tingkap. Lebuh raya tidak ubah seperti lebuh raya di Malaysia. Saya sudah mula rindukan Negara tercinta. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Di kiri kanan jalan terbentang sawah padi hijau saujana mata memandang. Saya terlena dalam kepenatan yang tidak tergambarkan.

Saya terjaga saat tiba di rumah makan khas sunda, Rumah Gazebo, Bandung. Bandung didominasi oleh kaum Sunda yang terkenal dengan sifat ramah dan sopan santun. Saya tidak nafikan gadis-gadis sunda terkenal cantiknya. Kami disajikan dengan makanan Sunda. Seingat saya ada sup yang berisi setengah tongkol jagung dan kekacang, dan ayam bakar dimakan dengan nasi panas. Perut saya sudah menyanyi-nyanyi minta diisi. Seusai solat kami berangkat ke Jatinangor. Jatinangor adalah kawasan pendidikan kerana di situ saja sudah terdapat beberapa buah universiti.

Perjalanan mengambil masa selama 45 minit dari Bandung ke Jatinangor. Pohon semarak api di kiri kanan jalan Universitas Padjadjaran menjadi saksi ketibaan kami. Buat pertama kalinya menjejakkan kaki di UNPAD(singkatan untuk nama U), hilang persepsi-persepsi indah tentang universiti. (Pengajarannya: Janganlah ade high expectation ye). Universiti ini beza sekali dengan universiti di Malaysia. (Takkan same lak kan) Ia berhampiran dengan tempat tinggal penduduk tempatan. Rumah-rumah mereka sederhana yang sangat rapat. Dikelilingi pula dengan bukit-bukit yang separuh gondol. Pada ketika itu merupakan musim kemarau. Jalan di universiti agak kering-kontang dan berdebu.

Saat kami tiba, kesejukan mula menggigit hingga ke tulang hitam seperti berada di Cameron Highland. Pemandangan kegemaran saya adalah Jambatan Cincin. Di bawah jambatan tersebut terhampar sawah bukit yang menghijau. Jambatan Cincin merupakan jambatan kereta api tinggalan Belanda untuk tujuan perekonomian. Kini jambatan itu telah menjadi laluan bagi orang awam. Subhanallah. Saat berjalan bertafakkur alam hati ini terus terkagum-kagum. Indah sungguh ciptaanNya. Sudah lama ingin merakamkan sendiri ‘view’ indah ini. Saya cuba menjejaki jambatan ini untuk melihat dengan lebih dekat. Sayang sekali tanah berhampiran di aniaya dengan pembuangan sampah-sarap. Tidak hairanlah banyak sekali kes diare dan demam denggi berdarah.

Saya ingin mengatakan Bandar ini adalah Bandar intelek. Banyak sekali buku-buku terjemahan boleh didapati di sini. Maklumlah bukan semua orang boleh membaca bahasa asing seperti bahasa arab dan bahasa jepun. Orang-orang Malaysia yang datang ke sini ada juga yang memborong buku-buku islamik kerana kosnya yang agak murah dan mudah didapati. Saya sering ke kedai buku Mentari yang terletak berhampiran kampus kerana di situ saya boleh membeli buku dengan harga yang murah daripada harga pasaran. Mungkin bapak tauke kedai itu beramal jariah dengan cara itu. Semoga Allah murahkan rezekinya. Bak kata sahabat saya, tidak rugi berbuat baik kerana Allah akan membalas dengan berlipat ganda.

Sekian perkongsian pengalaman yang tidak seberapa. Hampir tiga tahun kami di sini. TIdak lama lagi kami perlu pulang ke tanah air .InsyaAllah. Ya Allah semoga dipermudahkan urusannya. Catatan ini adalah sebagai kenangan sepanjang berada di sini. Sebenarnya, banyak lagi kenangan pahit dan manis di sini. Yang pahit itu terpaksa juga ditelan supaya menjadi penawar di kemudian hari. Jika ada silap kata mohon dibetulkan. Yang baik datang daripada Allah, yang buruk dari diri saya sendiri.

2 comments:

madziani said...

salam.
nk betulkan sket.bukan jun,tapi julai.exact date 02-07-06.
rase baru je ari tuh sampai sini,hari ke2 dah diare,skang ni..sume bende nk makan..diare pun layan ja..hehe

Nur said...

Salam..eheh a'ah la julai..ok doumo arigato.