Thursday, November 20, 2008

Wisata Alam




Pangandaran, pantai yang pernah menjadi mangsa ombak ganas rentetan bencana gempa sebesar 9 skala Richter pada tahun 2004 yang turut menimpa serambi Mekah, Aceh. Bandar kecil ini terletak di Ciamis, Jawa Barat.

2007, di tengah kepekatan malam, ketika homo sapiens sedang diulit mimpi indah merehatkan tubuh untuk meneruskan aktiviti pada esok hari, ada juga yang memenuhi keperluan rohani berduaan bermunajat bersama sang Pencipta yang dirindui sentiasa, ada juga yang berjaga seperti kelawar dan siangnya berhibernasi. Bermacam ragam si homo sapiens. Di tengah kepekatan malam itu juga kami dengan menaik bas berhawa dingin menempuhi perjalanan ke Pangandaran sebagai destinasi wisata. Kegembiraan terlukis di wajah masing-masing kerana tidak sabar untuk menatap laut yang luas tanpa batas beratapkan langit biru dan keindahan fajar menyingsing.

Tiada lebuh raya yang selesa dibatasi tol untuk tiba ke destinasi. Laluannya hanyalah jalan raya kampug yang bengkang-bengkok dan tidak rata. Saya hanya tidur-tidur ayam kerana sering terjaga akibat gegaran bas. Inilah pengorbanan yang perlu dibayar untuk menatap keindahan alam yang jauh dari suara mobil dan motosikal, jauh dari asap kenderaan yang menyesakkan dada, dan jauh dari lautan homo sapiens yang pelbagai pe’el. Seperti perjalanan dakwah Rasulullah dan sahabat-sahabat yang penuh duri dan pengorbanan sebelum mencapai zaman kegemilangan Islam. Semuanya berkat kesabaran yang menguji keimanan.

Kami tiba sebelum azan subuh berkumandang mengajak umat islam menuju kemenangan. Sebuah rumah sederhana dan beberapa buah bilik kecil disewa untuk beristirehat dan solat. Usai menunaikan keperluan rohani dan jasmani kami menapak kearah laut untuk menyaksikan matahari terbit. Terdapat kesan-kesan tsunami yang masih bersisa. Namun sedang mengalami proses penyembuhan. Desiran ombak terus bertasbih menggetarkan gegendang telinga persis hiburan yang menenangkan. Rakan-rakan melakukan agenda masing-masing. Ada yang membuka bekalan sandwich dan bihun goreng untuk mengalas perut, ada yang bermain bola tampar, ada yang berfoto kenangan, dan ada yang ke gigi air berkejaran dengan ombak. Ombak itu yang dulunya pernah mengganas marah kerana patuh pada Sang Pencipta. Tentu hikmah di sebaliknya yang lebih indah.

Setelah puas bermain, kami diajak menaiki bot ke pulau berdekatan. Di tengah lautan kami dapat menatap batu karang di dasar lautan dek kerana airnya yang jernih. Batu karang yang di tepi-tepinya kaya dengan plankton sebagai makanan sang ikan. Setibanya di pulau kecil, kami dibawa mengelilingi pulau dan dibawa memasuki gua yang kaya dengan stalaktit dan stalagmit. Setibanya di gigi pulau itu kami tidak melepaskan peluang membersihkan diri dengan air masin yang jernih.

Pada sebelah petang pula masa diisi dengan aktiviti masing-masing. Ada yang menaiki basikal menyusuri jalan pantai. Ada yang membeli cenderamata buat kenang-kenangan. Tidak banyak kedai yang didirikan di sepanjang pantai. Mungkin dalam proses menunggu luka untuk sembuh selepas tsunami. Namun rezeki Allah berada di mana-mana. Lautan itu sendiri punya pelbagai khazanah dan kaya dengan sumber protein sebagai keperluan gizi si homo sapiens. Sedang menikmati matahari tenggelam di dada lautan, aku didatangi seorang ibu yang menjual bingkai cermin dan bingkai nama Allah dan Rasulullah dan juga rantai kunci tulisan Pangandaran. Ditepi bingkai tersebut terdapat kulit kerang tersusun rapi hasil kerja tangan. Pertama kali aku melihat ibu-ibu berjaja di tepi pantai membawa barang-barang jualan dari seorang pelanggan ke pelanggan lain demi mencari sesuap nasi.

Sang matahari mula mengundur diri memberi peluang sang bulan menampilkan diri. Hakikatnya adalah bumi yang sentiasa berputar pada paksi tanda patuh kepada Illahi. Proses luar biasa yang sentiasa berulang mengganti hari hingga tiba kiamat. Sebelum pulang kami dihidangkan dengan sumber protein dari lautan yang dibakar. Sungguh enak hasil lautan segar. Kagum dengan para nelayan yang menjadi tuan kepada perahu sendiri. Walau badan sudah dimamah usia tapi masih tegar mencari rezeki. Tidak perlu berkerja makan gaji dengan orang lain. Tengah malam tiba lagi. Kami perlu pulang untuk meneruskan perjuangan yang masih belum selesai selagi roh dikandung badan. Wallahualam.

No comments: